PUNCA-PUNCA SEMANGAT KEJIRANAN SEMAKIN LUNTUR
Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia moden sering memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka.Corak pekerjaan yang dilakukan oleh masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Masyarakat zaman dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat bekerjasama di antara mereka, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama. Oleh itu, perubahan hidup masyarakat sekarang jelas menjadi penyebab kepada kelunturan semangat kejiranan masa kini.
Selain itu , kemajuan dalam bidang teknologi atau media massa juga salah satu punca yang mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan.Teknologi merupakan satu perkara yang paling penting pada era ini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Kemudahan peralatan canggih seperti ini selalunya terdapat di dalam rumah mereka yang menyebabkan mereka semakin tidak menghiraukan semangat kejiranan. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Ekoran dengan itu, kita akan menjadi hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan bersikap ramah-tamah di dalam pergaulan., sebaliknya kita hanya akan menjadi seperti kera sumbang dan hanya mampu berinteraksi dengan orang lain melalui teknologi. Oleh itu, kemajuan dalam bidang teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan..
Di samping itu, arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca semangat kejiranan semakin luntur pada masa kini. Dewasa ini, pembangunan negara berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri sendiri berpanjangan dalam masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat yang bersikap seperti ini tidak akan berjaya kerana perpaduan mereka amat rapuh dan mudah dipengaruhi oleh anasir luar. Tuntasnya, pembangunan yang begitu pesat melanda negara juga menjadi punca kepada lunturnya semangat kejiranan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
No comments:
Post a Comment