Tuesday, 26 March 2019
Monday, 25 February 2019
Konsep Kejiranan
KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN
Kepentingan semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan. Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh. Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Seterusnya , semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
KEBAIKAN MENGAMALKAN SEMANGAT KEJIRANAN
Antara kebaikan semangat kejiranan ialah kita akan mudah mendapat bantuan jika kita menghadapi sesuatu masalah. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kehidupan kita tidak dapat lari daripada perkara luar dugaan seperti kebakaran, kemalangan atau kematian. Jika kita menghadapi sesuatu bencana sudah tentunya jiranlah orang yang paling cepat dapat membantu kita. Begitu juga jlka kita sakit, jiranlah yang kita harapkan untuk menghantar kita ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan.
Selain itu, semangat kejiranan yang terjalin akan menjamin keselamatan tempat tinggal kita. Semangat kejiranan akan mendorong jiran kita menjaga keselamatan tempat tinggal kita. Jika jiran kita mendapati ada orang yang tidak dikenali datang atau memasuki rumah kita pada waktu kita tiada di rumah, jiran pasti akan menghubungi kita. Contoh pada musim perayaan, jika kita pulang ke kampung untuk menziarahi rumah saudara-mara, jiranlah orang yang kita harapkan dapat membantu menjaga rumah kita. Kebaikan lain semangat kejiranan ialah jiran akan dapat membantu kita dalam menjayakan majlis keramaian. Majlis keramaian yang kita adakan kadangkala memerlukan bantuan jiran di sekeliling kita. Dengan adanya bantuan jiran ini majlis tersebut menjadi ringan dan berjaya dilaksanakan.
Kebaikan semangat kejiranan yang seterusnya ialah jiran akan dapat membantu kita dalam menjayakan majlis keramaian. Majlis keramaian yang kita adakan kadangkala memerlukan bantuan jiran di sekeliling kita. Dengan adanya bantuan jiran ini majlis tersebut menjadi ringan dan Berjaya dilaksanakan. Semangat kejiranan yang terjalin juga membolehkan gejala negatif di tempat tinggal kita dicegah. Jiran yang baik, pastinya dapat mendidik dan menasihati anak mereka agar tidak melakukan perkara negatif yang boleh mengganggu ketenteraman membuat bising dan perkara berbahaya di kawasan kejiranan
Di samping itu, semangat kejiranan membantu memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat dalam Negara kita. Perpaduan yang terjalin akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Di samping itu, semangat kejiranan membantu memupuk semangat perpaduan dikalangan rakyat dalam Negara kita. Perpaduan yang terjalin akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.
KESIMPULAN
Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Selain itu , perpaduan juga adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Oleh itu , semangat kejiranan memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
Konsep Kejiranan
LANGKAH- LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN
Perpaduan merupakan antara elemen terpenting dalam pembentukan sesebuah negara yang harmoni. Perpaduan ini dapat dipupuk dengan semangat kejiranan yang utuh. Sememangnya tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang bersatu padu bermula dengan adanya semangat kejiranan yang tersemai dalam jiwa. Oleh itu,setiap individu haruslah memiliki semangat kejiranan yang tinggi demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara yang berbilang kaum. Namun begitu,semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini. Justeru,senario ini haruslah disusuli dengan langkah yang efektif supaya dapat dibendung sebelum masalah seumpama ini terus menular menjadi barah yang akan menjejaskan keharmonian negara.
Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan , antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royong .Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran , bak kata pepatah “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekali gus dapat mengeratkan hubungan kejiranan sesama insan. Oleh itu, kempen amalan rumah terbuka harus diperhebatkan lagi agar boleh mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada seluruh warga Malaysia yang mendiami di bumi bertuah ini.
Setersunya, langkah yang boleh diambil dalam usaha memupuk semangat kejiranan termasuklah mengamalkan amalan ziarah-menziarahi. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran. Malah,amalan ziarah-menziarahi ini sangat digalakkan dalam Islam. Misalnya,apabila jiran bertandang ke rumah,sudah semestinya kita akan menyambut baik kedatangan mereka dan melayan mereka dengan penuh adab sopan. Hal ini seterusnya akan melahirkan rasa hormat dan kasih sayang sesama individu. Oleh itu,amalan ziarah-menziarahi wajar dibudayakan dalam masyarakat.
Akhir sekali, semangat kejiranan yang semakin luntur tidak wajar dipandang enteng. Sebaliknya, perlulah dianggap sebagai satu perkara yang sangat penting dalam masyarakat. Kerajaan haruslah terus melakukan usaha-usaha yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan dalam masyarakat di negara kita. Sebesar rumah bermula dengan seketul bata. Oleh itu,perpaduan kaum haruslah bermula semangat kejiranan yang utuh.
Konsep Kejiranan
PUNCA-PUNCA SEMANGAT KEJIRANAN SEMAKIN LUNTUR
Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia moden sering memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka.Corak pekerjaan yang dilakukan oleh masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Masyarakat zaman dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat bekerjasama di antara mereka, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama. Oleh itu, perubahan hidup masyarakat sekarang jelas menjadi penyebab kepada kelunturan semangat kejiranan masa kini.
Selain itu , kemajuan dalam bidang teknologi atau media massa juga salah satu punca yang mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan.Teknologi merupakan satu perkara yang paling penting pada era ini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Kemudahan peralatan canggih seperti ini selalunya terdapat di dalam rumah mereka yang menyebabkan mereka semakin tidak menghiraukan semangat kejiranan. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Ekoran dengan itu, kita akan menjadi hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan bersikap ramah-tamah di dalam pergaulan., sebaliknya kita hanya akan menjadi seperti kera sumbang dan hanya mampu berinteraksi dengan orang lain melalui teknologi. Oleh itu, kemajuan dalam bidang teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan..
Di samping itu, arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca semangat kejiranan semakin luntur pada masa kini. Dewasa ini, pembangunan negara berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri sendiri berpanjangan dalam masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat yang bersikap seperti ini tidak akan berjaya kerana perpaduan mereka amat rapuh dan mudah dipengaruhi oleh anasir luar. Tuntasnya, pembangunan yang begitu pesat melanda negara juga menjadi punca kepada lunturnya semangat kejiranan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.
PENGENALAN SEMANGAT KEJIRANAN
Salah satu daripada ajaran Islam yang amat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat ialan amalan hidup berjiran. Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup seorang diri atau mengasingkan diri. Oleh itu, Islam telah menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dalam kalngan masyarakat sekeliling. Hubungan yang baik dapat membentuk sifat saling membantu, bekerjasama, saling menyayangi, menghormati dan sebagainya. Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan. Hal ini kerana, hidup berjiran merupakan salah satu cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam perlu saling menghormati dan sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda. Hubungan baik sesama jiran perlu sentiasa dijaga seperti yang dituntut dalam agama.
Dalam e-folio ini memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai konsep kejiranan yang sebenar.Disebabkan pada zaman sekarang, konsep kejiranan dalam masyarakat semakin pupus dari masa ke masa. Ini disebabkan semua orang pada masa ini telah sibuk mengejar kejayaan sampai terhampir lupa kepentingan kejiranan. Oleh itu , dalam e-folio ini akan mendedahkan semangat kejiranan, punca punca semangat kejiranan yang semakin luntur, langkah-langkah memupuk semangat kejiranan,kepenting semangat kejiranan dan kebaikan kejiranan dalam masyarat .
SEMANGAT KEJIRANAN
Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti aur dengan tebing.” Pada zaman kini, hubungan sesama jiran renggang “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”
Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ianya perlu diterapkan dalam diri dan seluruh masyarakat. Jiran perlulah mempunyai semangat dalam menjadikan sesebuah masayrakat yang lebih baik. Kita perlu memelihara semangat kejiranan kerana ianya dapat mengukuhkan dalam sesebuah masyarakat. Bermula daripada semangat kejirana inilah terjalinnya perpaduan yang teguh. Perpaduan yang teguh menjadi dasar pembangunan negara ke erah yang lebih baik serta mencapai status negara maju. Jiran Sepakat Membawa Berkat, kata-kata ini menunjukkan bahawa kesepakatan dalam masyarakat dapat menghasilkan sesuatu yang baik.
Semangat kejiranan dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Masyarakat yang mengamalkan sifat yang baik seperti tolong-menolong, saling bertegur sapa dan menjaga keselamatan masyarakat dapat mewujudkan satu suasana yang tenang dan aman. Masyarakat harus melakukan perkara yang baik mengekalkan keamanan yang terpelihara. Tamsilan yang jelas dapat dilihat dalam aktiviti bergotong-royong, masyarakat sentiasa menghulurkan bantuan antara satu sama lain dalam membersihkan kawasan perumahan. Hubungan jiran bagai aur denagn tebing dapat meningkatkan lagi semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat. Sejajar dengan hal ini, masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman dan harmoni.
Selain itu, semangat kejiranan yang teguh dapat menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih cekap dalam melaksanakan sesebuah program. Hubungan mereka amat akrab dan boleh meningkatkan ramai kenalan dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar dengan bantuan ramai pihak. Jika masyarakat bertindak bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sesuatu pekerjaan atau program tidak dapat dilaksanakan dengan cekap. Contohnya, jiran membantu jiran yang lain dalam mengadakan kenduri dengan bersama-sama menyediakan makanan untuk tetamu dan mendirikan khemah
untuk para tetamu. Lantaran itu, pekerjaan dapat diselesaikan dengan mudah. Bukan itu sahaja, hubungan yang erat dapat diwujudkan ketika melakukan pekerjaan bersama-sama. Masyarakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
Di samping itu, masyarakat juga boleh memupuk semangat perpaduan. Semangat kejiranan yang mantap dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan perpaduan yang teguh. Perpaduan juga sama pentingnya seperti semangat kejiranan. Kehidupan negara Malaysia memerlukan perpaduan yang teguh. Hal yang demikian, Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama. Negara kita dikagumi seluruh dunia kerana mempunyai perpaduan yang erat. Perkara ini dapat dibuktikan dengan kehadiran bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa lain dalam sesebuah masyarakat. Setiap kaum perlu mengetahui adat dan tradisi kaum lain untuk mengelakkan daripada menimbulkan isu sensitif. Semangat kejiranan yang mantap dapat mengelakkan situasi ini daripada berlaku kerana hubungan yang erat antara kaum. Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai semangat kejiranan yang tinggi supaya dapat mewujudkan perpaduan yang teguh.
Seterusnya, semangat kejiranan dapat menjadikan sesebuah kawasan itu selamat. Kawasan perumahan perlu ditingkatkan keselamatannya supaya keamanan dalam sesebuah masyarakat terjamin. Kejadian sepertimencuri, merompak dan menculik sering berlaku dalam kawasan perumahan. Masyarakat harus meningkatkan keselamatan kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Masyarakat boleh menubuhkan persatuan jiran tetangga dengan membuat rondaan pada waktu malam. Dengan itu, keselamtan penduduk terjamin. Ibu bapa akan berasa lebih senang melepaskan anak-anak bermain di sekitar kawasan perumahan. Kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik dapat dielakkan dan dikurangkan. Kesimpulannya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara dapat meningkatkan tahap keselamatan sesebuah masyarakat.
Secara kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang diperoleh daripada semangat kejiranan. Semangat kejiranan amat penting dalam melahirkan masyarakat harmoni, suasana yang aman dan perpaduan yang teguh. Kepentingan semangat kejiranan membawa kebaikan kepada diri masyarakat dan negara. Masyarakat yang maju dalam semua aspek seperti rohani, intelektual dan adab dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Untuk mencapai Wawasan 2020, kerjasama semua pihak amat digalakkan supaya dapat merealisasikan perkara ini. Semangat kejiranan yang rapuh tidak menjamin keamanan negara dan memerlukan kesepakatan rakyat Malaysia seperti Jiran Sepakat Membawa Berkat. Oleh itu, semangat kejiranan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Penawar Jiwa
❤Jiwa manusia yang tenang dan tenteram disebabkan hatinya sentiasa dibajai dengan cahaya keimanan dan lidahnya sentiasa dibasahi dengan zikrullah. Sebaliknya manusia yang keluh kesah jiwanya disebabkan hatinya disaluti dengan dosa-dosa yang dilakukankanya. Fikiran mereka kusut dan berkecamuk dan sentiasa memikirkan yang negatif. Oleh yang demikian, ingatlah manusia sesungguhnya penawar rohani yang mujarab untuk merawat penyakit rohani manusia ialah banyak berzikir kepada Allah S.W.T dan banyak memohon keampunan dari-Nya. - Abu Rushd.
KONSEP PERSAUDARAAN MENURUT ISLAM
Secara konsepnya, persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat manusia dalam sesebuah entiti masyarakat. Citra dan hati budi seseorang itu bukan bergantung kepada bangsa, warna kulit, keturunan, pangkat atau hartanya, tetapi diukur berasaskan ketinggian budi pekerti yang terpuji. Dalam kerangka persaudaraan ini, interaksi sosial sesama manusia perlu mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam. Bagi mencerminkan persaudaraan menurut lunas-lunas syara’ maka konsep persaudaraan ini perlu didasari dengan ikatan akidah yang luhur dan mantap.
Oleh yang demikian, konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Ini kerana, ikatan rabbani bersifat universal dan bersifat kualitatif tanpa mengira perubahan masa dan zaman. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah berjaya membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Baginda telah memainkan peranan penting dalam mengimbangi hubungan intergrasi yang bersepadu antara masyarakat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.
Antara objektif konsep persaudaraan ini adalah bagi memenuhi konsep saling lengkap melengkapi (simbiosis) sesama insan dalam suasana yang harmoni. Sekiranya dibuka lipatan sejarah permulaan Islam, dinukilkan konsep persaudaraan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan golongan Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah Kubra. Peristiwa ini perlu dihayati dan diperhalusi dalam membentuk kerangka prinsip persaudaraan oleh masyarakat Islam kini. Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat manusia dalam mengimbangi tuntutan hablu min al-Allah (hubungan dengan Allah) dan hablu minannas (hubungan sesama manusia).
Justeru itu, sekiranya manusia menghayati konsep persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka ia akan melahirkan sebuah peradaban manusia yang unggul. Sebagai natijahnya, ia akan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan akhirnya akan membentuk bangsa yang kuat. Antara sebab kejatuhan kegemilangan tamadun silam adalah disebabkan tidak ada kesatuan sesama Islam. Umat Islam pada ketika itu, dibelenggu dengan krisis sentimen aliran mazhab. Masing-masing cuba menonjolkan kewibawaan pendapat pelopor mazhab yang didokong, dan akhirnya wujud bibit-bibit perpecahan sehingga mengeruhkan perpaduan di kalangan umat Islam. Sebaliknya, perselisihan pendapat di kalangan para ulama’ satu rahmat, bagi umat Islam namun disalah tafsirkan sehingga meniupkan api ekstrimis sehingga boleh mencetuskan perpecahan.
Umumnya, di Malaysia masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, peringkat usia, taraf kedudukan, pangkat dan kebolehan ilmu pengetahuan serta pelbagai sistem agama dan kepercayaan. Bagi menjamin dan menjaga keharmonian institusi masyarakat, setiap anggota dalam masyarakat perlu memahami konsep dan peraturan hidup masyarakat. Islam mempunyai prinsip dan acuan tersendiri dalam konteks kemasyarakatan khususnya dalam nilai persaudaraan seperti berikut:
1. Persaudaraan (ukhuwwah) menjadi wasilah atau mekanisme untuk mendekatkan diri pada Allah dan RasulNya.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.”
Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w menyebutkan cara yang sepatutnya kita membantu orang yang kurang berada dan berkongsi menggunakan sesuatu kemudahan. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak mampu, hendaklah ia berusaha melakukan sesutu yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan demikian ia dapat bersedekah. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menolong orang susah yang memerlukan bantuan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menyuruh orang lain melakukan kebaikan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap suatu sedekah”. (riwayat Ahmad)
Justeru itu, berpegang kepada kehendak ayat al-Quran dan hadis, Nabi menyeru kepada umat manusia mengamalkan nilai-nilai murni demi mengukuhkan semangat perpaduan. Sesungguhnya, pengajaran yang terdapat sumber Ilahi mempunyai rahsia-rahsia yang tersembunyi dan manfaat yang sangat berguna kepada manusia. Semua amalan murni yang ditekankan dalam teks al-Quran di atas bertujuan untuk mencapai objektif keredhaan Allah dan dalam masa yang sama menjaga hubungan manusia sesama manusia.
2. Persaudaraan merupakan keperluan bersama iaitu saling lengkap-melengkapi dan bantu membantu antara muslim dengan muslim yang lain.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Jika sekiranya seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari ia beriktikaf selama 2 bulan di dalam masjidku"
Hadith riwayat al-Hakim dan ia mengatakan sanadnya sahih. Rasulullah cuba menyeru seluruh umatnya untuk mengimplimentasikan ruh persaudaraan ini dalam kehidupan semasa. Baginda sendiri telah mengiktiraf ganjaran berlaku ihsan sesama muslim bagi mengisi maksud ukhuwwah ini berbanding ibadah di dalam masjidnya. Hal ini jelas memberi isyarat kepada kita, bukanlah ibadah di tempat sujud saja yang dipentingkan oleh Islam, bahkan hubungan sesama manusia itu juga dipentingkan sehingga ianya setara dengan perkara-perkara ibadah asas bagi setiap muslim.
Imam al-Ghazali memberi pandangan bahawa hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah memberi pertolongan kepada saudaranya yang mempunyai hajat dan keperluan mengikut kemampuan mereka. Pandangan ini menjelaskan bahawa wajib memberi pertolongan kepada saudara-saudara yang dalam kesulitan tanpa menunggu permintaan dari mereka. Bantuan yang diberikan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Setiap individu wajib menghormati dan mengasihi saudaranya. Dalam satu riwayat Nabi yang bermaksud:
“Bukanlah dari umatku sesiapa yang tidak menghormati saudaranya yang lebih tua, dan yang tua tidak mengasihi saudaranya yang lebih muda”(riwayat al-Tarmizi)
3. Persaudaraan dapat memupuk nilai dan etika pergaulan sesama manusia.
Nabi merupakan contoh tauladan yang unggul untuk diikuti oleh manusia sama ada yang melibatkan hubungan dengan Allah, sesama manusia dan hubungan dengan alam sekeliling. Menyentuh tentang adab dan etika pergaulan sesama manusia, setiap individu dalam masyarakat mempunyai obligasi yang tertentu untuk dilaksanakan. Ruang lingkup dan batas pergaulan sesama manusia perlu mengikuti tatasusila dan kodifikasi yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w. Nilai-nilai murni yang yang ditunjukkan oleh bagianda perlu dihayati dengan terperinci dan dipraktiskan bertujuan untuk memelihara keutuhan dan keharmonian dalam masyarakat. Kelembutan dan kesantunan budi pekerti yang ada Baginda bukan sahaja dikagumi oleh masyarakat Islam bahkan disegani di kalangan musuh Rasulullah.
Bagi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah komuniti, Nabi menegaskan hubungan yang baik dan mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia. Sikap melukakan atau mengguris perasaan seseorang perlu dielakkan dalam hubungan berkomunikasi. Laras bahasa yang digunakan semasa bertutur perlulah mempunyai nilai-nilai positif dan memberi manfaat kepada pihak pendengar. Justeru itu, perkataan dan peri laku yang memberi konotasi negatif di tegah dalam ajaran Islam. Adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim menjauhkan dari sesuatu yang boleh menyumbangkan impak negatif kepada perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan persaudaraan.
4. Persaudaraan merupakan obligasi sosial yang merangkumi kewajipan-kewajipan ringkas yang perlu dilaksanakan.
Perkara ini ditegaskan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud,"Tanggungjawab seorang muslim kepada muslim yang lain ada 6 perkara”,i. Apabila bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam.ii. Apabila ia menjemputmu, maka penuhilah jemputannya.iii. Apabila ia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya.iv. Apabila ia bersin dan bertahmid, maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertashmit (berdoa).v. Apabila ia sakit hendaklah engkau menziarahinya. vi. Apabila ia meninggal dunia, hendaklah engkau mengiringi jenazahnya".(hadith riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis ada menyebut tentang kerjasama dan bertimbang rasa dengan jiran dan sahabat-handai. Sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya:“Hak jiran jika ia sakit hendaklah diziarahi, jika ia meninggal dunia, hendaklah dihebahkan kematiannya, jika ia minta pinjam hendaklah diberi pinjam, jika ia berada dalam kesusahan hendaklah menolongnya. Jika ia mendapat kebaikan hendaklah mengucapkan tahniah, jika ia ditimpa kesedihan hendaklah mengucapkan takziah, janganlah engkau meninggikan binaan rumah engkau melebihi binaan rumahnya kerana itu akan menghalang angin ke rumahnya. Janganlah engkau mengganggu dengan bau masakanmu kecuali engkau berikan sedikit kepadanya.” (riwayat al-Munziri)
Begitu juga dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud:“Sesungguhnya Allah mengharamkan atas orang Mukmin darah, harta dan harga diri sesama Mukmin, dan (mengharamkan) berprasangka buruk kepadanya”
Sekiranya dikaji dan dianalisis tuntutan yang terdapat dalam hadis di atas jelaslah beberapa garis panduan dan etika pergaulan secara umum yang ditekankan oleh Rasulullah. Oleh yang demikian, jika manusia melakukan pelanggaran kewajipan tersebut menyebabkan berlakunya kecacatan dalam hubungan persaudaraan. Bentuk perhubungan yang disarankan oleh Baginda perlu dijadikan sebagai batu asas dalam usaha pengukuhan pembentukan ummah.
5. Persaudaraan juga merupakan jalinan kemesraan dan kasih sayang.
Hal ini ditekankan oleh Rasulullah, seperti yang dipetik dari hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmidhi dan Nasa’i,
"Janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi 3 hari".
Dalam hadis lain Nabi s.a.w menyebut :
“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”(riwayat Ahmad)
Dalam kita mengejar urusan dunia, kita sering lalai dan melanggari batas-batas hubungan sesama manusia. Perkara umpat mengumpat, kata-mengata, fitnah memfitnah amat jelas terjadi dalam kehidupan harian. Maka hendaklah kita ambil iktibar dari hadith ini untuk menjaga kemaslahatan ukhuwwah umat Islam itu, kelak hal ini jika tidak dijaga, maka ia akan menimbulkan pertelingkahan sesama muslim pula. Juga disebut dalam hadis Rasulullah akan tuntutan menunjukkan kemesraan dalam komunikasi harian sesama manusia,
"(Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)."(Hadis riwayat Muslim)
Malah Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya “Wabak Kemiskinan Dan Cara-cara Islam Merawatinya, 1988” menjelaskan, Islam menjadikan orang yang ada hubungan persaudaraan dan pertalian kaum kerabat sebagai golongan yang bersatu padu dan saling memikul tanggungjawab bersama. Individu yang kuat membantu yang lemah dan yang kaya pula membantu yang miskin. Itulah yang mendorong mereka kepada saling bersimpati dan tolong–menolong serta mengukuhkan ikatan antara mereka. Jelaslah di sini menunjukkan betapa Islam itu menekankan peri pentingnya komponen-komponen asas bagi menerapkan roh persaudaraan di kalangan umatnya. Oleh yang demikian sekiranya asas-asas ini dicemari dengan elemen yang boleh menjejaskan keharmonian dalam persaudaraan maka ia akan melahirkan satu entiti masyarakat yang bersifat individualistik. Ini disebabkan pembangunan manusia didorong kepentingan material dan tidak diseimbangkan dengan pembangunan insan yang ideal.
6. Persaudaraan dapat memupuk ke arah pengukuhan perpaduan dan keamanan.
Perpaduan dan keamanan yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia pada hari ini menerusi persaudaraan, perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan diwarisi oleh generasi semasa dan akan datang. Perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat perlu dijauhi.
Untuk mengekalkan keharmonian ini, masyarakat perlu berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan sebagainya. Keperluan kepada nilai ini perlu dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam semua perkara. Tanpa perpaduan yang erat akan mewujudkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan mengundang kepada perpecahan. Masyarakat yang lemah bermula dengan konflik persaudaraan yang wujud dalam sesebuah negara dan akhirnya ia akan melahirkan bibit perpecahan dalam interaksi perhubungan komuniti. Oleh yang demikian, unsur-unsur negatif yang boleh mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat merupakan virus yang sangat berbahaya kepada manusia. Sindrom sedikian perlu dibasmi dan dicegah sebelum merebak secara berleluasa dalam sesebuah masyarakat.
Kesimpulannya. penerapan nilai dan etika persaudaraan sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam dapat mengeratkan perpaduan dan keutuhan dalam komuniti masyarakat. Perpaduan merupakan paksi utama kepada kesatuan dan akan melahirkan generasi bersatu padu dalam kelompok masyarakat yang progresif dan dinamik. Justeru itu, dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai variasi kaum, agama dan bangsa penerapan nilai-nilai murni sebagaimana yang yang dianjurkan oleh ajaran Islam perlu dihayati dan diasimilasikan dalam realiti masyarakat majmuk. Oleh yang demikian, sekiranya nilai-nilai murni diketepikan oleh masyarakat, maka lahirlah generasi yang bersifat individualistik. Bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang baik, perpaduan merupakan resepi dan adunan yang terbaik dan kunci utama khususnya bagi rakyat yang berbilang kaum. Sebagai rakyat yang tinggal di negara Malaysia, kita perlu berterima kasih kepada pihak kerajaan dalam mengekal dan menjamin keamanan serta perpaduan di kalangan rakyat. Tanpa elemen perpaduan, mustahil rakyat Malaysia dapat mengecapi nikmat kemakmuran dan keharmonian seperti yang kita kecapi hari ini. (Abu Rushd)
KONSEP PERSAUDARAAN
Konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Ini kerana, ikatan rabbani bersifat universal dan bersifat kualitatif tanpa mengira perubahan masa dan zaman. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah berjaya membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Baginda telah memainkan peranan penting dalam mengimbangi hubungan intergrasi yang bersepadu antara masyarakat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.
Antara konsep persaudaraan ini adalah bagi memenuhi konsep saling lengkap melengkapi sesama insan dalam suasana yang harmoni. Sekiranya dibuka lipatan sejarah permulaan Islam, dinukilkan konsep persaudaraan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah Kubra. Peristiwa ini perlu dihayati dan diperhalusi dalam membentuk kerangka prinsip persaudaraan oleh masyarakat Islam kini. Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat manusia dalam mengimbangi tuntutan hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
Salah satu daripada ajaran Islam yang amat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat ialan amalan hidup berjiran. Secara f...
-
KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN Kepentingan semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di se...
-
PUNCA-PUNCA SEMANGAT KEJIRANAN SEMAKIN LUNTUR Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya ...